Menangani Cabaran Pendidikan Semasa

Sekolah Berkesan

SEKOLAH BERKESAN

CITRA WATAK – PERWATAKAN KEDINAMISME KEPENGETUAAN

1. Mukaddimah

Secara literal, Kamus Dewan mentakrifkan terminologi sekolah sebagai tempat untuk belajar dan mengajar. Manakala perkataan kesan ditakrifkan sebagai tanda yang ditinggalkan oleh sesuatu.

Lippitz telah mentakrifkan sekolah berkesan sebagai “sekolah yang selamat dan teratur di mana kanak-kanak miskin dan kelas pertengahan mendapat pencapaian akademik yang baik” (Hare, 1988: 413)

Manakala Felsenthal (1982) pula mentakrifkan sekolah berkesan di mana majoriti pelajar mendapat keputusan yang tinggi dalam peperiksaan awam pada peringkat kebangasaan.

Menurut Levine dan Lezotte (1990), ukuran sekolah berkesan yang telah digunakan oleh kebanyakan penyelidik ialah pencapaian dalam mata pelajaran tertentu seperti matematik, sains atau bahasa, kehadiran ke sekolah dan kepuasan pelajar.

Apa yang diistilahkan dengan watak ialah merujuk kepada ‘manusia’ atau ‘pelaku.’ Dalam sesuatu cerita rekaan, seseorang watak dikenalpasti sifat-sifat tertentu termasuk perangai dan pemikiran melalui percakapannya dan apa yang mereka lakukan. Sesuatu watak mungkin tidak berubah atau tidak bertukar dari segi rupa dan sifat-sifat semula jadi dan juga pemikiran. Watak juga mungkin menempuh atau mengalami perubahan yang radikal atau cepat, sama ada melalui perkembangan secara sedikit demi sedikit atau sebagai akibat dari krisis yang meruncing.

Dalam konteks yang berhubungan, watak dinamik adalah watak yang disebut juga sebagai watak tiga dimensi yang mempunyai sifat-sifat sebagai manusia biasa, ada unsur-unsur fizikalnya, psikologi dan unsur-unsur kemasyarakatan. Watak ini biasanya mengalami pelbagai perubahan mengikut perkembangan, sama ada perubuhan dari segi fikirannya, pandangan hidup dan sikapnya.

2. Ciri-Ciri Sekolah Berkesan

Ciri diistilah sebagai tanda atau sifat yang khusus pada sesuatu yang membezakan dengan yang lain. Dalam kajian awal behubung dengan konsep sekolah berkesan di kebanyakan negara telah dapat mengenalpasti lima hingga tujuah ciri yang difikirkan membezakan sekolah berkesan daripada sekolah yang kurang dan tidak berkesan. Pada tahun tujuh puluhan, terdapat lima ciri yang dikemukakan oleh para penyelidik.

Brookpver dan Lezotte (1979) dan Broojkover (1979), telah meletakkan ukuran asas sekolah berkesan sebagai tanda, iaitu

(1) memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran asas di kalangan pelajar,

(2) jangkaan tinggi terhadap pelajar,

(3) kepemimpinan pentadbiran yang kuat,

(4) pemantauan tentang kemajuan pelajar, dan

(5) iklim yang kondusif untuk belajar.

Ternyata kelima-lima ciri tersebut berhubungan dengan aspek-aspek kepemimpinan dan peranan aspek keguruan.

Sekitar tahun lapan puluhan, terdapat beberapa orang penyelidik lain seperti Gauthier (1982), Shoemaker(1982) dan Villanova (1984) telah mengenal pasti beberapa set dan seterusnya mengembangakan ciri-ciri tersebut seperti berikut, iaitu;

(1) persekitaran sekolah yang selamat dan tersusun,

(2) misi sekolah yang jelas,

(3) kepemimpinan pengajaran,

(4) jangkaan tinggi,

(5) peluang belajar,

(6) sering membuat pemantauan ke atas pelajar, dan

(7) perhubungan positif antara sekolah dan rumah.

Manakala Purkey dan Smith (1983), membuat satu kajian secara literatur, dan mendapati 13 ciri sekolah berkesan. Purkey dan Smith telah membahagikan 13 ini kepada dua struktur, antaranya strukrtur pertama terdapat sembilan ciri sekolah berkesan yang berkaitan dengan struktur organisasi, dan struktur kedua terdiri daripada empat ciri yang berkaitan dengan pemboleh ubah proses, yang berhubungkait pula dengan budaya dan iklim sesebuah sekolah.

Purkey dan Smith melihat struktur organisasi adalah:

(1) Penekanan kepada pengurusan dan membuat keputusan secara demokratik;

(2) Kepemimpinan pengajaran yang kuat diberikan oleh guru besar atau pengetua atau guru-guru lain;

(3) Kestabilan staf;

(4) Penekanan kepada kurikulum dan pengajaran;

(5) Program pembangunan staf di peringkat sekolah;

(6) Penglibatan dan sokongan ibu bapa;

(7) Pengiktirafan tentang kejayaan akademik;

(8) Penggunaan masa yang berkesan, melibatkan lebih masa kepada pelajaran akademik dan kurang kepada aktiviti-altiviti bukan akademik; dan

(9) Sokongan daripada pejabat pendidikan daerah.

Manakala pembolehubah proses pula dimaksudkan oleh Purkey dan Smith adalah seperti:

(1) Perancangan kolaboratif dan perhubungan kerja yang baik dan berkesan;

(2) Perasaan komuniti;

(3) Matlamat yang jelas dan jangkaan tinggi; dan

(4) Disiplin berdasarkan peraturan yang jelas dan dilaksanakan dengan adil.

Abdul Karim bin Mohd. Nor (1989) yang membuat kajian terhadap empat buah sekolah menengah luar bandar mendapati ciri-ciri institusi yang membezakan sekolah berkesan dengan sekolah tidak berkesan.

Ciri-ciri tersebut ialah:

(1) kemahiran kepemimpinan pengetua,

(2) persepsi peranan pengetua,

(3) pengalaman sebagai pengetua,

(4) strategi pembangunan yang digunakan oleh sekolah,

(5) penglibatan ibu bapa,

(6) jangkaan guru terhadap pelajar,

(7) sikap guru terhadap pelajar,

(8) pandangan guru terhadap sekolah,

(9) disiplin pelajar,

(10) penggunaan sumber sekolah,

(11) persepsi guru terhadap mandat dan arahan kerajaan, dan kepuasan guru dengan pelajar.

Sementara Rahimah dan Zulkifli (1996) pula menggunakan empat kriteria untuk mengukur iklim sekolah berkesan, antaranya termasuklah;

(1) Perhubungan interpersonal,

(2) Pengajaran dan pembelajaran,

(3) pentadbiran, dan

(4) Kemudahan fizikal.

Dapatan daripada kajian ini merealisasikan sekolah berkesan mempunyai iklim sekolah yang positif dari keempat-empat dimensi yang dikaji berbanding dengan sekolah yang tidak berkesan.

Dalam konteks yang lain, terdapat juga kajian-kajian yang dilakukan untuk membandingkan sekolah berkesan di 27 buah negara yang menggunakan beberapa kategori pemboleh ubah (Scheerens dan Boskeer, 1997).

Apa yang dimaksudkan dengan pemboleh ubah ialah pemboleh ubah input dan output dan pembolehubah proses. Pemboleh ubah input dan output adalah melibatkan ibu bapa, saiz kelas dan pendidikan perguruan yang telah dan akan diterima oleh seseorang guru. Sementara pemboleh ubah proses merangkumi kepemimpinan pengetua, penglibatan pengetua, penilaian guru, masalah di sekolah, prosedur penilaian dan fokus kepada kemahiran penyelesaian masalah. Dalam hubungan yang sama, konteks pemboleh ubah bilik darjah merangkumi masa untuk mengajar, masa untuk bacaan, kerja rumah, startegi pengajaran, penilaian kemajuan dan penilaian keperluan.

3. Jangkaan Peranan: Citra Pengetua Berkesan

3.1 Citra Personaliti: Nilai-Nilai Keperibadian

Kata Mao Tze Tung, seorang pemimpin yang berkesan adalah “jinak seperti kucing dan garang seperti harimau.” Dalam konteks ini, pengetua atau guru besar yang berkesan adalah guru besar atau pengetua yang mempunyai keseimbangan emosi dan perasaan. Ada masanya pengetua memerlukan ciri-ciri watak dan perwatakan yang lembut dan mesra sosial dan ada kalanya dia memerlukan personaliti yang tegas dan garang. Dalam dunia organisasi korporat, seseorang yang dilantik ke peringkat eksekutif di sesebuah syarikat adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai ‘the good packaging.’ Justeru itu, adalah penting seseorang pengetua mempunyai ciri-ciri watak dan perwatakan yang sesuai dengan penampilan diri yang unggul, kesihatan yang terjamin, kebersihan diri, mannerism, beretika dan tutur bahasa yang sopan.

Selain itu, personaliti seseorang pengetua juga memerlukan kapasiti dan kekuatan dari segi minda. Kemantapan keintelektualan seseorang pengetua amat berguna dan maha penting kerana pengetua terpaksa menghadapi pelbagai cabaran kepengetuaan. Tugas pengetua memerlukan pembuatan keputusan serta penilaian tentang segala alternatif dan pelbagai kemungkinan yang boleh timbul dari sesuatu keputusan yang dibuat ataupun sesuatu kaedah pembuatan keputusan. Selain itu tugas pengetua juga dilingkari dengan pelbagai bentuk tekanan yang tidak kepastian. Oleh itu, Pengetua yang sarat dengan berbagai-bagai disiplin keilmuan, amat perlu untuk menjadi pengurus yang berkesan.

3.2 Citra Arkitektur: Merangka Matlamat-Matlamat Sekolah

Dirujuk kepada peranan guru besar atau pengetua dalam menentukan penumpuan pencapaian matlamat-matlamat tahunan akademik yang dirangka melalui sumber-sumber yang ada di sekolahnya. Sekolah-sekolah yang efektif biasanya mempunyai matlamat dan misi yang jelas dan memberi tumpuan terhadap pencapaian akademik pelajar. Tenaga staf dan sumber-sumber yang lain di sekolah digemblengkan dan dijana bagi mencapai sasaran matlamat yang ditetapkan. Beberapa objektif diselaraskan dengan setiap daripada skopnya mudah dikelolakan dan ini merupakan cara terbaik bagi menuju arah hala matlamat.

Dalam merangka matlamat-matlamat sekolah, data pencapaian prestasi pelajar yang lepas dan tanggungjawab guru-guru perlu diambil kira serta digabungkan untuk menuju ke arah pencapaian matlamat yang ditetapkan. Sumbangan serta penglibatan guru-guru dan ibubapa amat penting ke arah pencapaian matlamat. Pencapaian matlamat yang ditetapkan seharusnya boleh dijelaskan dalam UPSR (Brookover, Schweitzer, Schneider, Beady, Fliid, Wisenbaker, 1978; Clark, 1980, Bossert et al, 1982).

3.3 Citra Perkongsian Bijak: Merperjelaskan Matlamat-Matlamat Sekolah

Fungsi ini berkaitan dengan cara bagaimana pengetua atau guru besar memperjelaskan matlamat sekolah yang penting kepada guru-guru, ibu bapa dan para pelajar. Guru besar dapat menyakinkan pentingnya matlamat sekolah dapat difahami oleh guru-guru melalui perbincangan dalam mesyuarat yang diadakan oleh guuru-guru melalui perbincangan dalam mesyuarat yang diadakan oleh guru-guru melalui perbincangan dalam mesyuarat yang diadakan sepanjang tahun, khususnya dalam konteks pengajaran dan kurikulum. Wahana komunikasi secara formal dalam (perhimpunan mingguan di sekolah, surat edaran, majalah sekolah) atau secara tidak formal dalam (mesyuarat PIBG, mesyuarat guru, mesyuarat kurikulum, perbincangan dengan guru-guru) boleh diekploitasi oleh guru besar bagi memperjelaskan kepentingan dan tujuan matlamat-matlamat sekolah (Brookover et al, 178, 1982; brookover dan Lezotte, 1979, Hallinger, 1987).

3.4 Citra Penyeliaan: Menyelia dan Menilai Pengajaran

Tugas utama pengetua atau guru besar di sekolah adalah untuk memastikan matlamat-matlamat sekolah diterjemahkan kepada amalan pengajaran di bilik darjah oleh guru-guru. Ini dilakukan dengan menyelaraskan objektif pegnajaran guru di bilik darjah seiring dengan matlamat sekolah dan dengan penyeliaan dan penilaian pengajaran guru. Ini ditambah lagi dengan menyedia dan memberikan sokongan serta melalui kekerapan penyeliaan secara tidak rasmi pengajaran guru-guru di bilik darjah (Lipham, 1981; Levine, 1982)

3.5 Citra Doktor: Pemantauan Kemajuan Akademik Pelajar

Sekolah yang efektif dari segi pengajarannya memberi penekanan yang utama terhadap piawaian dalam ujian (standardized testing). Ujian-ujian ini digunakan untuk mendiagnosis program pendidikan dan mengesan kelemahan pelajar, untuk menilai semula program pendidikan hasil daripada perubahan dan pembaharuan yang dilaksanakan dalam program pengajaran, dan bagi guru-guru memberi tugasan kepada pelajarnya di bilik darjaha. Guru besar bolehlah memainkan peranan penting dalam bidang ini dengan berbagai cara. Guru besar boleh memastikan kaedah yang berkesan dalam melaporkan kemajuan pelajar, menggunakan markah ujian untuk membuat keputusan tentang penyelesaian masalah pelajaran di sekolah, berbincang secara terbuka dan dengan guru secara individu.

Guru besar juga boleh menganalisis dan mentafsir data keputusan peperiksaan secara terperinci dengan guru-guru mata pelajaran dalam bentuk yang ringkas dan padar (Edmonds, 1979; Stallings, 1980; Stallings dan Mohlman, 1981; Brookover et al, 1982; Purkey dan Smith, 1982, Hallinger dan Murphy, 1987).

3.6 Citra Pengawas: Mengawal dan Melindungi Waktu Pengajaran

Kajian yang telah dijalankan oleh Stallings (1980) dan para pengkaji lain mengenai peruntukan masa pengajaran dan pembelajaran telah menarik perhatian tentang pentingnya mengawal dan melindungi waktu pengajaran dari gangguan. Pengurusan serta susun atur bilik darjah yang baik dan kemahiran pengajaran guru akan memberi kesan terhadap pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Begitu juga, jika waktu pengajaran kerapkali diganggu dengan kelewatan pelajar masuk ke kelas, pengumuman dari pembesar suara, guru atau pelajar dipanggil ke pejabat dan sebagainya. Guru besar perlu mengadakan dan menguatkuasakan polisi mengawal dan melindungi waktu pengajaran di sekolah dari sebarang gangguan (Wynne, 1980, Stallings, 1980; Stalling dan Mohlman, 1981; Bossert et la, 1982).

3.7. Citra Penjaga: Selalu Kelihatan di Kawasan Sekolah

Dalam konteks ini guru besar memberi petunjuk kepada guru-guru dan para pelajar mengenai prioriti di sekolah. Walaupun guru besar tidak mempunyai banyak masa senggang dalam tugasnya tetapi guru besar berupaya memperuntukkan waktu untuk berada di kawasan sekolah (visibility) dan membuat rondaan di bilik darjah. Dengan cara ini interaksi di antara guru besar dangan guru-guru serta para pelajar dapat ditingkatkan. Ini akan memberi kesan yang positif terhadap tingkah laku pelajar dan pengajaran di bilik darjah (Clark, 1980, Brookover et al, 1982).

3.8. Citra Keibubapaan: Insentif Kepada Guru

Guru besar atau pengetua dengan budi bicaranya boleh membuat beberapa pilihan terbuka mengenai pemberian insentif kepada guru-guru. Pergerakan gaji secara menegak atau melintang dalam Sistem Saraan Baru (SSB) dan mecalonkan nama bagi memegang jawatan sebagai penolong kanan pentadbiran, penolong kanan hal ehwal murid, penolong kanan kokurikulum, penyelia petang ataupun guru pakar merupakan pilihan alternatif yang terbuka untuk guru besar memberi insentif dan motivasi kepada guru-guru.

Walau bagaimanapun, satu kajian mengenai kesan relatif antara insentif berbentuk wang dengan pujian dan penghargaan telah dijalankan dan didapati insentif berbentuk wang sedikit sahaja mengatasi pujian dan penghargaan sebagai ganjaran. Ini mencadangkan bahawa guru besar seharusnyua menggunakan kedua-dua kaedah dengan cara yang terbaik dengan memberi insentif atau pujian serta penghargaan kepada guru yang berhak menerimanya (Latham dan Wexley, 1981).

3.9. Citra Penyokong: Menggalakkan Peningkatan Profesional

Pengetua atau guru besar boleh menggunakan pelbagai cara sebagai sokongan kepada guru-guru dalam usaha memajukan pengajaran. Guru besar boleh mengenal pasti keperluan, merancang atau memaklumkan kepada guru-guru tentang peluang-peluang kursus untuk memajukan perkembangan profesional mereka. Sehubungan dengan itu guru besar boleh menggalakkan guru-guru menyertai seminar atau bengkel di luar sekolah serta mendapatkan tenaga pakar dari luar sekolah untuk tujuan pembangunan staf yang berkait rapat dengan matlamat-matlamat sekolah (Clark, 1980, Brookover et al, 1982; Little, 1982).

3.10. Citra Penyungguh: Menyediakan Ganjaran Untuk Pelajar

Fungsi terakhir guru besar dalam kepemimpinan pengajaran adalah untuk memajukan dan meningkatkan pembelajaran melalui pemberian ganjaran kepada pelajar. Guru besar berupaya mewujudkan iklim pembelajaran yang kondusif di sekolah dan pencapaian akademik dihargai dan dipentingkan. Justeru itu, para pelajar sentiasa diberi peluang menerima ganjaran sebagai tanda menghargai peningkatan pencapaian akademik mereka dan memberangsangkan pelajar untuk lebih berusaha memajukan pencapaian akademik mereka dengan lebih cemerlang. Hadiah yang diberikan tidak perlulah yang mahal-mahal tetapi yang pentingnya pelajar-pelajar ini dihargai dan dipuji dihadapan guru-guru dan rakan sebaya mereka. Pelajar-pelajar yang berpotensi cemerlang dalam bidang akademik perlu diberi peluang dihargai dan dipuji di kelas dan di perhimpunan mingguan sekolah (Brookover et al, 1979, Wynne, 1980; Hallinger, 1984).

4. Kesimpulan

Disimpulkan kertas kerja ini dengan sebuah potret yang telah dirumuskan oleh Sara Lighfoot dalam bukunya The Good High School (1984). Sara telah melakukan kajian etnografi terhadap enam buah sekolah yang dianggapnya paling berkesan di Amerika Syarikat. Lihat Ilustrasi potret berikut:

Dalam tiap-tiap sekolah yang dikaji, kami dapati beberapa gambaran berkenaan kebaikan pendidikan.. Kami dapati bahawa sekolah yang baik mempunyai ideologi yang jelas dan murni yang membandingkan organisasinya dari tekanan-tekanan luar yang kuat dan tidak dapat dipastikan. Apa yang dipersepsikan sebagai kepimpinan terasing sebenarnya disemak oleh perkongsian dan pakatan antaran ahli-ahli yang mempunyai kemesraan dan kepercayaan yang unggul antara satu dengan yang lain. Kami juga mendapati bahawa sekolah yang berkesan memberi ruang kebebasan kepada guru-guru untuk menyuarakan kehendak dan kebebasan mereka, menyediakan ruang yang luas bagi penyertaan dan tanggungjawab dan melengkapkan mereka supaya tidak dipandang secara stereotaip seperti yang biasa digambarkan terhadap profesion keguruan pada masa kini.

Dalam sekolah yang berkesan pelajar-pelajar melaui proses pendidikan dan pemerhatian yang baik dari guru. Guru-guru mengenali setiap murid dengan secara rapat serta memahami kehendak-kehendak golongan remaja sebagai satu perkembangan psikologi yang naturl. Keselesaan perhubungan dengan pelajar-pelajar dalam peringkat remaja ini disemai dengan perhubungan mesra dan kejinakan, terutama ketika menghadapi keadaan tingkah laku pelajar yang mengancam. Sekolah yang berkesan mempamerkan struktur authoriti yang teguh dan bersepadu yang memberi sokongan dan keabsahan terhadap tindakan disiplin yang dilakukan oleh guru. Walaupun golongan dewasa dan pelajar dalam sekolah menumpukan perhatian mereka kepada dimensi sosial dan psikologi yang bergerak dalam persekitaran mereka, sekolah yang berkesan juga terlibat dengna tindakan-tindakan yang rasional, jelas serta mementingkan aktiviit-aktiviti bercorak akademik, dan kurikulum. Tumpuan terhadap keinteletualan lazimnya dilakukan untuk melahirkan kesamaan (equity) di kalangan kumpulan-kumpulan pelajar di samping memberi tumpuan yang serius terhadap kecemerlangan akademik.

Comments on: "Sekolah Berkesan" (1)

  1. Mar Mariyani Malek said:

    Terima kasih.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Gumpalan Label

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: